Saturday 12 July 2014

JANJI ALLAH KEPADA INSAN BERTAQWA


Hasil mujahadah yang tinggi, serius serta istiqamah, 
Allah akan kurniakan kepada kita sifat taqwa. Bermacam-macam 
kebaikan yang Allah janjikan dalam Al Qurankepada mereka 
yang memiliki sifat taqwa ini.

Ini adalah janji Allah yang pasti tepat dan pasti 
ditunaikan-Nya. Ia tidakterhingga nilainya yang tidak 
dapat diukur dengan mana-mana mata wang di dunia ini. 
Di antara janji-janji Allah kepada mereka yang memiliki 
sifat taqwa ini ialah:

1. Terpimpin

Mereka mendapat pimpinan daripada Allah. Ini jelas sekali 
melalui firman Allah:
Maksudnya: "Allah menjadi (Pemimpin) Pembela bagi orang-
orang yang bertaqwa." (Al Jasiyah: 19)

2. Terlepas dari kesusahan

Mereka dapat terlepas daripada kesusahan. Bukan ertinya mereka tidak mendapat 
susah atau tidak ditimpa ujian tetapi selepas kesusahan dan ujian, mereka akan 
terselamat. Walaupun ada pelbagai rintangan dalam ujian itu, ia sementara waktu 
sahaja. Selepas itu Allah akan lepaskan dari ujian dan rintangan itu dengan 
menghadiahkan pelbagai macam nikmat pula. Ini jelas dalam firman Allah:
Maksudnya: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan lepaskan 
dia dari masalah hidup." (At Thalaq: 2)

3. Rezeki

Di dunia lagi akan diberi rezeki yang tidak tahu dari mana sumber datangnya. 
Diberi rezeki yang tidak terduga dan dirancang. Ini jelas dalam sambungan ayat 
tadi: Maksudnya: "Dan akan diberi rezeki sekira-kira tidak diketahui dari        
mana sumbernya." (At Thalaq: 3)

Inilah jaminan daripada Allah SWT bagi mereka yang bertaqwa. Sesiapa yang 
bertaqwa, rezekinya ada sekadar yang perlu. Makan minumnya yang perlu tetap 
ada walaupun dia tidak berusaha. Walaupun dia tidak ada kerja, tetap ada jaminan 
daripada Allah. Ini diakui sendiri oleh Imam Ghazali, mungkin ianya dari pengalaman 
sendiri. Imam Ghazali pernah berkata: "Kalau sekalipun orang bertaqwa itu 
tidak ada kerja, keperluan-keperluan nya tetap diperolehinya."

Waktu makan akan diberi makanan. Jika patut dapat pakaian, akan diberi pakaian. 
Dia sendiri tidak tahu dari mana sumbernya kerana ianya bukan daripada usaha 
dan cariannya sendiri. Dia dapat rezeki bukan melalui sumber usahanya tetapi 
melalui sumber usaha orang lain. Kalau taqwanya secara jemaah, maka rezeki itu 
diberi secara berjemaah. Sekiranya taqwanya secara individu, maka secara individu 
jugalah pemberian Allah itu.

4. Kerja dipermudah

Kerja-kerja orang yang bertaqwa itu dipermudahkan Allah. Ini jelas Allah gambarkan 
di dalam sepotong ayat:
Maksudnya: "Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, dipermudahkan 
Allah segala urusannya." (At Thalaq: 4)

Allah memberi jaminan, kerja orang yang bertaqwa itu dipermudahkan. Mungkin 
juga di samping mudah, hasilnya banyak. Buat sedikit, hasilnya banyak. 
Jadi kalaulah kita buat kerja berhempas-pulas, di samping hempas-pulas 
banyak pula rintangan, kemudian hasilnya pula sedikit atau langsung tidak ada, 
itu menunjukkan kita belum mempunyai sifat taqwa hinggakan 
Allah tidak membantu.

5. Diberi berkat [barokah]

Dia diberi berkat daripada langit dan bumi. Berkat pada hartanya, pada kesihatan 
badannya, pada ilmunya, pada anak-anak dan zuriatnya, pada isterinya, pada 
suaminya, pada sahabat handai dan jiran, pada gurunya, berkat dakwahnya, berkat 
ajarannya, berkat pimpinannya dan sebagainya. Ini jelas sekali dalam ayat:
Maksudnya: "Jikalau penduduk sebuah kampung (atau sebuah negara) itu 
beriman dan bertaqwa, Tuhan akan bukakan berkat 
daripada langit dan bumi." (Al Aíraf: 96)

Berkat maknanya bertambah atau subur. Apabila dikatakan hidupnya berkat, 
maknanya hidupnya penuh dengan kemuliaan, ketenangan, kebahagiaan dan 
penuh dengan pahala. Hartanya berkat, harta yang tidak putus-putus dapat 
disalurkan kepada kebaikan dan berpahala walaupun dia bukan orang kaya. 
Ilmunya berkat, maknanya ilmu yang dimilikinya itu dapat diamalkan, bertambah 
dan dapat dimanfaatkan kepada kebaikan serta menambahkan pahala.

Badannya yang sihat yang dikatakan berkat itu adalah badan yang dapat 
digunakan untuk kebaikan. Dengan kesihatan badannya itu, digunakannya untuk 
jihad fisabilillah, untuk khidmat kepada masyarakat dan dapat menambahkan 
pahalanya. Masanya berkat ialah masa yang Allah untukkan padanya, dapat 
digunakan kepada kebaikan. Dia tidak buang masa percuma dengan perkara 
yang melalaikan. Umurnya berkat, mungkin umurnya bertambah. Kalaupun 
umurnya tidak bertambah, tetapi umur yang diberikan kepadanya itu akan 
menambahkan pahala. Rezekinya berkat yakni rezeki yang tidak putus-putus 
sekalipun tidak kaya, yang dapat digunakan untuk kebaikan dan dapat 
menambahkan pahala.

Berkat pada anak-anaknya atau zuriat ertinya, anak-anak dan cucu cicit berjaya 
menjadi anak-anak yang soleh, yang menjadi penyejuk mata hati. Berkat pada 
isterinya atau suaminya, iaitu isteri tersebut atau suami itu soleh dan solehah, 
yang dapat mengingat dan memimpinnya selamat di dunia dan di Akhirat. Berkat 
pada sahabat handai dan jiran, ertinya mendapat sahabat yang baik-baik dan 
ramai pula yang membantu perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.

Berkat pada gurunya, iaitu dia mendapat guru yang soleh yang dapat memimpin 
dan memandunya selamat di dunia dan Akhirat.

6. Amalan diterima

Amal ibadah orang yang bertaqwa diterima oleh Allah. Kalau begitu amal ibadah 
orang [yg sekadar] Islam tidak diterima. Orang Islam [yg tidak bertaqwa] akan 
masuk Neraka dulu. Oleh yang demikian, hanya amal ibadah orang yang bertaqwa 
sahaja yang diterima oleh Allah.

Ini dijelaskan oleh Allah:
Maksudnya: "Sesungguhnya amal ibadah yang diterima Allah ialah dari 
orang yang bertaqwa." (Al Maidah: 27)

Maksudnya, Allah hanya menerima sembahyang orang yang bertaqwa. Allah tidak 
akan terima sembahyang orang yang sekadar Islam. Allah akan terima puasa
 orang bertaqwa. Allah akan terima perjuangan orang yang bertaqwa. Allah tidak 
akan terima perjuangan orang yg sekadar Islam sahaja tanpa taqwa. Allah akan 
terima haji orang yang bertaqwa. Allah tidak akan terima haji orang Islam yang 
tidak bertaqwa. Begitulah seterusnya berdasarkan ayat di atas tadi.

7. Amalannya diperbaiki

Amalan orang yang bertaqwa itu sentiasa dibaiki oleh Allah.
Sentiasa diperkemaskan oleh Allah daripada masa ke semasa. Ini jelas Allah 
mengingatkan kepada kita:

Maksudnya:
"Wahai mereka yang beriman hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah 
kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki 
amalan-amalan kamu..." (Al Ahzab: 70-71)

Jadi orang-orang yang bertaqwa amalannya sentiasa dibaiki oleh Allah. 
Sembahyangnya sentiasa dibaiki Allah. Begitu juga puasanya, bacaan Qurannya, 
wiridnya dan perjuangannya sentiasa dibaiki. Apa sahaja bentuk kebaikan yang 
dibuatnya sentiasa dibaiki oleh Allah dari masa ke semasa. Itulah jaminan Allah.

8. Dosa diampunkan

Dosanya diampunkan. Dalam ayat tadi juga ada sambungannya:
Maksudnya:
"Wahai mereka yang beriman, hendaklah kamu takut kepada Allah. Hendaklah 
kamu memperkatakan kata-kata yang teguh; nescaya Allah akan membaiki 
amalan-amalan kamu dan akan mengampun bagimu dosa-dosa kamu." 
(Al Ahzab: 70-71)

Ertinya dosa-dosa orang-orang yang bertaqwa ini akan diampunkan. Namun 
begitu orang Islam sekadarnya, dosanya tidak diampunkan oleh Allah. Sebab 
itu orang Islam itu akan masuk Neraka dulu dan barulah ke Syurga. 
Tegasnya, orang yang bertaqwa sahaja akan diampunkan dosanya oleh Allah SWT.

9. Dapat ilmu tanpa belajar

Diberi ilmu tanpa belajar. Yakni diberi ilmu terus jatuh pada hati. Memanglah ilmu 
yang jatuh kepada hati, tidak perlu proses belajar.
Kalau ilmu yang jatuh pada akal, ia perlu melalui proses belajar yakni membaca, 
mentelaah, kena berguru, kena bermuzakarah, kena berfikir dan merenung. 

Barulah akan dapat ilmu itu.
Sedangkan ilmu yang jatuh pada hati, tidak diketahui sumbernya, tidak perlu 
berfikir, mentelaah dan tanpa berguru. Ia terus terjatuh sahaja ke hati. Hati itu 
sebagai wadahnya. Jadi orang yang bertaqwa ini diberi ilmu tanpa belajar.

Ini jelas Allah  nyatakan dalam ayat Al Quran:
Maksudnya: "Bertaqwalah kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu." 
(Al Baqarah: 282)

Dapat ilmu daripada Allah tanpa perantaraan guru, tanpa perantaraan belajar. 
Hal ini diperkuatkan oleh sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya:
"Barangsiapa yang mengamalkan ilmu yang dia tahu, nanti dia akan 
dipusakakan ilmu yang dia tidak tahu." (Dikeluarkan oleh Abu Nuaim)

Apa sahaja ilmu yang dia tahu, diamalkan. Hasilnya nanti Allah akan beri ilmu 
tanpa dia belajar. Ramai orang-orang soleh dan ulama yang soleh diberi ilmu laduni. 
Itulah ilmu yang jatuh kepada hati yang juga dipanggil ilham.

Firman Allah Taala: Maksudnya: "Dan Kami ajarkan dia ilmu yang datang dari 
dari sisi Kami." (Al Kahfi: 65 )

Ertinya orang yang bertaqwa itu akan diberi ilmu terus dari Allah 
tanpa wasilah guru. Agar tidak terkeliru, perlulah diingat bahawa orang yang hendak 
dapat ilmu laduni itu, dia mesti ada ilmu asas iaitu ilmu fardhu ain terlebih dahulu.

10. Terlepas dari tipu daya syaitan

Orang bertaqwa itu akan terlepas dari tipu daya syaitan. Dalam Al Quran ada 
disebutkan tentang hal ini.

Firman Allah:
Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertaqwa apabila mereka ditimpa 
was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka 
melihat kesalahan-kesalahan mereka." (Al A'raf: 201)

11. Terlepas dari tipu daya musuh

Orang bertaqwa juga lepas daripada tipu daya musuh lahir sama ada orang kafir 
mahupun orang munafik.

Firman Allah:
Maksudnya: "Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka 
sedikit pun tidak mendatangkan kemudharatan kepadamu. Sesungguhnya 
Allah  mengetahui segala apa yang mereka kerjakan." (Ali Imran: 120)

12. Terhindar dari Neraka

Orang bertaqwa terhindar daripada Neraka. Ertinya tentulah dia masuk Syurga 
sebab di Akhirat tidak ada tiga tempat. Kalau terlepas daripada Neraka, bermakna 
ke Syurgalah dia.

Firman Allah Taala:

Maksudnya: "Akan tetapi orang yang bertaqwa kepada Tuhannya, bagi 
mereka Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka 
kekal di dalamnya." (Ali Imran: 198)

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu berada dalam 
Syurga dan (di dalamnya mengalir) mata air. (Dikatakan kepada mereka): 
Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera lagi aman." (Al Hijr: 45-46)

Maksudnya: "Itulah Syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba 
Kami yang selalu bertaqwa." (Maryam: 63)

Inilah di antara keuntungan-keuntung an atau bonus yang diperolehi 
oleh orang yang bertaqwa.

Kesemua itu tidak dapat dinilai dengan mata wang dunia kerana terlalu tinggi 
nilainya. Ia didapatkan hasil daripada membersihkan hati, mujahadah bersungguh-
sungguh membuang sifat-sifat mazmumah dan menyuburkan sifat mahmudah 
serta mengamalkan syariat yang lahir dan batin.

Kalau di dunia ini kita berebut-rebut untuk dapatkan bonus yang tidak ada nilai 
di sisi Allah itu, mengapa kita tidak rebut bonus taqwa yang manfaatnya untuk dunia 
dan Akhirat? Kalau tidak mahu bonus itu, orang tak beraakal namanya.

No comments:

Post a Comment